HALIFAX - KANADA. Papan tanda ini sememangnya mengelirukan pemandu.

Ini kerana papan tanda di lebuh raya di wilayah Nova Scotia di Kanada ini kelihatan seperti tampalan beberapa papan tanda jalan dan penduduk turut bimbang ia akan menyebabkan kemalangan.   

Penduduk Port Mouton, Beverly Burlock terletak kira-kira 160 kilometer dari Halifax berkata, dia mula menyedari kewujudan papan tanda itu pada akhir minggu lalu.

"Perkara pertama yang muncul di dalam fikiran saya adalah, Ya Tuhanku, apa pelancong akan fikir apabila melihat papan tanda itu. Perkara lain yang saya khuatiri adalah ia mungkin akan mengakibatkan kemalangan terutamanya di kawasan selekoh tajam di Lebuh Raya 103," ujarnya.

Jelasnya, dia telah membuat aduan kepada jabatan pengangkutan wilayah selain menghantar salinan laporan kepada pejabat perdana menteri wilayah.

Sementara itu, jabatan pengangkutan memaklumkan papan tanda itu akan ditutup atau dipindahkan untuk mengelakkan sebarang kekeliruan kepada pengguna lalu lintas.

Pada 2009, Lebuh Raya 103 yang menghubungkan Halifax ke Yarmouth itu pernah diisytiharkan sebagai laluan paling berbahaya di Kanada dan satu kajian keselamatan telah dilancarkan di wilayah itu pada 2014. - BBC