HANOI - MYANMAR. Setiausaha Luar Britain, Boris Johnson, telah menggesa Myanmar untuk menangani krisis Rohingya, yang berisiko untuk bertukar menjadi bencana kemanusiaan berikutan keadaan sanitasi teruk di kem-kem pelarian di Bangladesh, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Di Myanmar, Johnson bertemu pemimpin negara itu, Aung San Suu Kyi, di Nay pyi daw pada Ahad untuk membincangkan isu etnik minoriti Rohingya Islam dan penghantaran pulang kira-kira 700,000 daripada mereka yang lari ke Bangladesh untuk melepaskan diri daripada kekejaman.

Johnson tiba di Myanmar untuk lawatan empat hari dari Bangladesh, di mana beliau telah menziarahi pelarian Rohingya.

Keganasan tercetus di negeri Rakhine selepas sekumpulan penembak menyerang 24 balai polis dan memecah masuk ke sebuah pusat kawalan ketenteraan pada 25 Ogos 2017.

Tentera Myanmar melakukan tindakan balas dengan satu operasi kejam yang membawa kepada pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan.

Pada 23 November 2017, kerajaan Bangladesh mengumumkan bahawa mereka dan negara jiran Myanmar telah bersetuju menghantar pulang pelarian Rohingya. - Bernama