YANGON – MYANMAR. Myanmar membantah deraf resolusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHRC) berhubung isu Rakhine, namun berikrar untuk menangani cabaran yang dihadapi di negara itu, lapor agensi berita Xinhua.

Media rasmi pada Khamis menerbitkan kenyataan Perwakilan Tetap Myanmar ke PBB, U Htin Lynn sebagai maklum balas kepada deraf resolusi yang dikemukakan di sidang khas UNHRC mengenai Myanmar.

Resolusi "Situation of human rights of Rohingya Muslims and other minorities in Myanmar" itu, dibentangkan pada Selasa.

Sidang khas UNHRC tersebut diadakan di Geneva atas permintaan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Menurut kenyataan itu, Myanmar membantah resolusi, kerana ia meningkatkan polarisasi, pemisahan dan konfrontasi, dan ia tidak mencerminkan prinsip UNHRC seperti kesaksamaan, objektif dan tidak selektif.

Ia juga dilihat menumpukan kepada satu kumpulan yang mempunyai kepercayaan tertentu.

"Melindungi dan menggalakkan hak asasi manusia adalah untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan jantina," jelas kenyataan itu.

Beliau berkata "beberapa elemen dalam deraf resolusi melanggar kedaulatan negara Myanmar. Tuduhan tanpa bukti yang cukup dan konkrit turut terkandung didalamnya."

"Bantuan antarabangsa sepatutnya menjadi sebagai sebahagian penyelesaian kepada masalah bukan menambahkan lagi kemelut," katanya

Jelas kenyataan itu lagi, kerajaan Myanmar berusaha untuk menyelesaikan isu Rakhine secara dalaman dan melalui kerjasama dengan Bangladesh.

Pada 23 November, Myanmar dan Bangladesh menandatangani perjanjian berkaitan warga Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh dari Rakhine, bagi membolehkan mereka kembali semula ke negara asal. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • YANGON - MYANMAR. Kumpulan bantuan kemanusiaan global memberi amaran kepada Myanmar bahawa mereka akan memboikot mana-mana kem penempatan baharu untuk pelarian etnik Rohingya yang bakal pulang ke negeri Rakhine.
  • YANGON - MYANMAR . Kekejaman Myanmar terhadap penduduk Islam Rohingya adalah satu bentuk dasar apartheid, menurut pertubuhan hak asasi manusia Amnesty International berhubung siasatan punca krisis yang menyebabkan lebih 620,000 pelarian melarikan diri ke Bangladesh.
  • YANGON - MYANMAR. Lebih 60 anak muda Rohingya yang kini sedang menyambung pengajian di madrasah Qawmi di Bangladesh menggunakan platform aplikasi mesej WhatsApp untuk mengumpul dana bagi pelarian di Cox's Bazar dan membantah penganiayaan berterusan tatmadaw di Myanmar.
  • YANGON - MYANMAR . Kaunselor Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi menggesa agar langkah-langkah bantuan kemanusiaan, pemulihan, penempatan semula dan pembangunan di negeri Rakhine yang dilanda konflik dipercepat, lapor agensi berita China Xinhua memetik Agensi Berita Myanmar.