YANGON - Myanmar mendakwa melakukan pembersihan di kampung-kampung Muslim Rohingya untuk memberi laluan kepada penempatan semula pelarian, bukan untuk memusnahkan bukti.

Minggu lalu, kumpulan Human Rights Watch menganalisis imej satelit yang menunjukkan Myanmar meratakan sekurang-kurangnya 55 kampung di Rakhine yang sudah pun musnah dibakar sebelumnya.

Pembersihan turut dijalankan di dua buah kampung yang tidak terusik sebelum ini sehinggalah tibanya jentera berat.

Menurut kumpulan itu, kerja pembersihan di kampung-kampung itu boleh memadamkan bukti kekejaman tentera Myanmar terhadap Muslim Rohingya.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menganggap kekejaman itu sebagai kempen pembersihan etnik terhadap minoriti Rohingya yang tidak mempunyai kerakyatan.

Serangan oleh pemberontak Rohingya terhadap 30 pos polis dan sebuah kem tentera pada 25 Ogos mencetuskan respon balas tentera Myanmar yang mengakibatkan 688,000 penduduk terpaksa melarikan diri ke Bangladesh. - Reuters