DHAKA - BANGLADESH. Kerajaan Myanmar telah meminta Bangladesh supaya berhenti menyalurkan bantuan kepada 6,000 pelarian Rohingya yang terkandas di sempadan antara dua negara sejak tindakan kekerasan oleh tentera yang mencetuskan gelombang keganasan baharu di Rakhine pada tahun lalu.

Gesaan itu dibuat selepas rundingan antara Menteri Luar, A H Mahmood Ali dan wakil diplomatik Myanmar, Kyaw Tint Swe di Napyidaw pada Jumaat lalu.

"Mereka meminta kami berhenti memberi bantuan kemanusiaan kepada golongan itu dan mencadangkan kepada kami untuk menguruskan bantuan kemanusiaan dari Myanmar," ujar Kementerian Luar di Dhaka dalam satu kenyataan.

Bangladesh bagaimanapun tidak membuat sebarang komitmen, namun memberi respons positif kepada cadangan Yangon untuk menjalankan kaji selidik di kawasan tanah tidak bertuan itu.

Difahamkan, ribuan pelarian Rohingya tersebut enggan memasuki Bangladesh dan tinggal di kawasan tanah tidak bertuan di sempadan serta bergantung dengan bantuan dihantar oleh Dhaka. -  AFP