LONDON - ENGLAND. Nama Muhammad me­rupakan antara nama paling popular untuk kanak-kanak lelaki di United Kingdom (UK), namun nama itu tidak menduduki tempat pertama dalam senarai rasmi kerana mempunyai pelbagai ejaan.

Laporan terbaru oleh Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS) yang diterbitkan pada hujung minggu menunjukkan, bahawa Muhammad menduduki tangga ke-10 senarai  nama paling popular untuk bayi lelaki di London dan beberapa bandar utama lain tahun lepas.

Ini menunjukkan kenaikan populariti yang besar sejak tahun 2007, apabila ia sekadar menghuni tangga ke-38 dalam senarai nama bayi lelaki.

Nama itu diberikan kepada kira-kira 3,700 bayi tahun lalu berbanding hanya lebih kurang 1,800 dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Secara rasmi terdapat 14 ejaan Muhammad dan kepelbagaian ejaan bergantung kepada latar belakang keluarga sama ada dari negara yang menggunakan bahasa Arab dan perbezaan sebutan.

Antara ejaan popular ialah Muhammad, Mohammed, Muhammed, Mohammad atau Mohamed.

Menurut laporan ONS, peningkatan saiz komuniti Islam di England dan Wales serta penguasaan nama dalam  kalangan masyarakat Islam adalah antara sebab utama populariti Muhammad yang semakin meningkat.

Menariknya, ONS percaya bahawa kebangkitan tokoh sukan popular seperti legenda tinju  Muhammad Ali, pelari jarak jauh Mohammad (Mo) Farah dan penyerang Liverpool, Mohamed Salah juga menyumbang kepada trend.

Walau bagaimanapun, secara keseluruhan, Olivia dan Oliver menjadi nama yang paling popular untuk bayi perempuan dan lelaki di Britain untuk tahun lepas. - Agensi