LONDON - ENGLAND. Semua 12 remaja pasukan bola sepak Wild Boars termasuk jurulatih yang berjaya diselamatkan dari sebuah gua di utara Thailand, diundang pasukan gergasi England, Manchester United ke Old Tarfford bagi menyaksikan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pengumuman itu dibuat menerusi Facebook rasmi The Red Devils, hari ini.

"Manchester United bersyukur dan lega kesemua 12 pemain dan jurulatih mereka yang terperangkap dalam gua di Thailand telah selamat.

"Kami mahu mengundang pasukan dari Wild Boars ke Old Trafford musim ini," menurut kenyataan MU.

Operasi menyelamat budak bola dan jurulatih mereka bermula pada Ahad lalu denga empat mangsa pertama berjaya dibawa keluar pada hari yang sama.

Semalam, empat lagi mangsa dibawa keluar dengan selamat dan hari ini operasi menyelamat di gua Tham Luang berakhir selepas baki lima mangsa berjaya diselamatkan.

Sebelum ini, Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) Gianni Infantino mengundang kesemua mereka ke Moscow bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia 2018 yang dijadualkan berlangsung pada 15 Julai.

Bagaimanapun, idea itu mendapat bantahan doktor kerana semua remaja terbabit berada dalam keadaan baik tetapi proses pemulihan agak perlahan dan mereka perlu berehat di hospital selama seminggu. - The Guardian

[ARTIKEL BERKAITAN: Budak bola, jurulatih terlepas final Piala Dunia]

[ARTIKEL BERKAITAN: Operasi menyelamat budak bola berakhir]