NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Lapan wanita mendakwa pelakon, Morgan Freeman melakukan tingkah laku tidak senonoh atau gangguan seksual di set filem atau acara promosi, menurut laporan CNN, semalam.

Sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas penerima Anugerah Oscar itu, CNN melaporkan ia telah menemu bual 16 individu di syarikat produksi miliknya, Revelations Entertainment yang mana separuh daripadanya turut membuat dakwaan sama.

Sementara itu, Freeman, 80, dalam satu kenyataan membuat permohonan maaf kepada mereka yang berasa tidak selesa atau tidak dihormati.

"Sesiapa yang pernah bekerja atau mengenali saya pasti tahu saya bukan jenis individu yang sengaja menyinggung perasaan atau membuat orang lain berasa tidak selesa. Saya minta maaf jika anda tersinggung kerana saya tidak berniat melakukannya," katanya.

Susulan pendedahan laporan itu, syarikat kad kredit, Visa berkata, ia telah menggantung pemasaran yang menampilkan pelakon tersebut. - Press TV