LONDON - BRITAIN. Selepas chickenpox, jangkitan virus monkeypox didakwa dikesan buat pertama kalinya di negara itu, Jumaat lalu.

Perkara itu disahkan Kesihatan Awam Britain (PHE) selepas seorang rakyat Nigeria yang tinggal di pangkalan tentera laut di Cornwall jatuh sakit.

Pesakit kemudiannya dipindahkan ke unit pakar penyakit berjangkit di Royal Free Hospital, London.

Difahamkan, pesakit kemungkinan dijangkiti virus di Nigeria sebelum perjalanan ke Britain.

Menurut PHE, virus monkeypox tidak mudah tersebar dan kebanyakan pesakit yang dijangkiti sembuh dalam tempoh beberapa minggu.

Bagaimanapun, ia boleh menyebabkan penyakit yang teruk kepada sesetengah orang.

“Individu tanpa gejala tidak dianggap berjangkit tetapi sebagai langkah berjaga-jaga mereka yang berdekatan perlu dihubungi untuk diberi rawatan segera sekiranya tidak sihat.

“Kami menggunakan prosedur pengasingan ketat di hospital untuk melindungi kakitangan dan pesakit kami,” jelas PHE. - Daily Mail

Info:

-Monkeypox adalah jangkitan virus jarang ditemui pada monyet pada tahun 1958.

-Gejala awal termasuk demam, sakit kepala, sakit otot, menggigil dan keletihan.

-Dalam tempoh satu hingga lima hari, kulit akan ditumbuhi ruam.

-Kira-kira 10 peratus kes itu membawa maut.