MADRID - SEPANYOL. Mayat seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang telah ditemui dalam but kereta kekasih bapanya, menurut pihak berkuasa, kelmarin.

Kehilangan Gabriel Cruz Ramirez, 8, di wilayah selatan Almeria pada akhir Februari lalu turut mendapat perhatian seluruh negara.

Usaha mencari budak tersebut disertai lebih 4,000 anggota polis dan sukarelawan selepas isyarat orang hilang menjadi tular.

Difahamkan, polis telah menahan teman wanita bapanya.

“Wanita tersebut diberkas ketika dia membawa mayat mangsa di dalam but sebuah kereta,” kata Menteri Dalam Negeri, Juan Ignacio Zoido.

Kali terakhir Gabriel dilihat adalah ketika dia meninggalkan kediaman neneknya untuk bermain di rumah jiran di perkampungan Las Hortichuelas di Nijar pada 27 Februari lalu.

Pada 3 Mac lalu, bapanya, Angel Cruz dan teman wanitanya, Ana Julia Quezada menemui baju-T dengan DNA mangsa kira-kira 10 kilometer dari Nijar.

Sebelum ini, hashtag #TodosSomosGabriel bermaksud ‘kami semua Gabriel’ turut dikongsi di media sosial selepas berita kehilangannya tersebar secara meluas. - BBC