MOSCOW - RUSIA. Seorang menteri Rusia dikritik banyak pihak kerana menawarkan tanah sebagai hadiah menerusi akaun Instagram miliknya.

Menteri yang bertanggungjawab dalam Pembangunan Timur Jauh, Alexander Kozlov melancarkan cabaran hadiah misteri yang dibuka kepada sesiapa sahaja yang melanggan dan memberi komen di Instagram serta menanda rakan mereka.

"Terdapat juga hadiah kejutan untuk mereka yang dapat meneka hadiah utama," lapor portal berita Rambler.

Dalam tempoh beberapa hari, beliau telah mendapat hampir 8,000 komen dan ada yang meneka hadiah itu adalah makan tengah hari bersama beliau dan bersara awal.

Tetapi, hadiah yang ditawarkan adalah lot tanah secara percuma di bawah Pelan Hektar Timur Jauh yang memberikan satu hektar tanah kepada mana-mana rakyat yang mahu tinggal atau mengusahakan kawasan tersebut.

Segelintir pihak bagaimanapun mengkritik skim itu yang memberikan tanah secara rawak dan bukan kepada mereka yang sangat memerlukannya. - BBC