SUKABUMI - INDONESIA. Bermula dengan mengutip puntung rokok di atas jalan berhampiran gerai makan ibunya lalu meniru kelakuan perokok dewasa, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun kini adalah seorang perokok tegar.

Rapi Ananda Pamungka yang mula ketagihan rokok sejak sebulan lalu akan mengamuk apabila tabiat buruknya cuba dihalang.

Ibu Rapi, Maryati, 35, mengakui terpaksa membeli dua kotak rokok sehari untuk anaknya.

“Anak saya merokok sejak lebih kurang sebulan lalu. Jika saya tidak membeli rokok untuknya, dia mengamuk. Baru-baru ini, dia meminta untuk ke kedai kopi dan merokok sambil menghirup kopi.

“Jika dia tidak dapat merokok, dia tidak dapat tidur. Anak saya akan mengamuk dan menangis. Harga rokok mahal tetapi kami perlu beli untuknya. Dia gemar merokok sepanjang hari dan boleh menghisap 40 batang rokok sehari,” katanya.

Sementara itu, ayah Rapi, Misbahudin berkata, dia sendiri bingung mengapa anaknya gemar merokok. - Metro.co.uk