JHARKHAND - INDIA. Tiga anggota polis cedera dibaling batu oleh penduduk kampung yang marah, selepas mayat seorang budak perempuan ditemui di dalam tandas Stesen Kereta Api Barapalasi di daerah Dumka petang semalam, kata sumber polis.

Penduduk kampung turut membelasah seorang lelaki yang dilaporkan tinggal di stesen itu untuk beberapa ketika.

Lelaki yang mempunyai masalah mental itu dituduh membunuh mangsa yang berusia dalam lingkungan enam tahun.

Ketika dimaklumkan mengenai insiden itu, satu pasukan polis dari balai polis Jama bergegas ke tempat kejadian dan menyelamatkan lelaki tersebut,  yang cedera parah selepas dipukul dengan teruk.

"Penduduk kampung yang tidak berpuas hati, mula membaling batu ke arah polis menyebabkan tiga anggota cedera," kata Superintendan Polis Kaushal Kishore.

Katanya semua anggota polis yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Sadar, di mana mereka diberikan rawatan perubatan, manakala tertuduh dirujuk ke hospital di Dhanbad.

Sementara mayat budak perempuan itu telah dihantar untuk bedah siasat.

"Pasukan polis yang mencukupi telah ditempatkan di kawasan itu untuk memantau keadaan dan mengelak rusuhan," kata Kishore. - NDTV