TEXAS - AMERIKA SYARIKAT. Dua beranak ditahan polis apabila rakaman mereka menembak mati seorang jiran tersebar ketika bergaduh gara-gara tindakan mangsa membuang tilam buruk.

Laporan Daily Mail menyebut, John Miller, 67, dan anak lelakinya berusia 31 tahun, Michael Miller ditahan atas dakwaan membunuh Aaron Howard, 37, pada 1 September lalu di Abilene, Texas.

Rakaman itu tersebar selepas tunang mangsa, Kara Box mengedarkannya kepada sebuah stesen televisyen tempatan, KTXS-TV yang menunjukkan John memegang sepucuk pistol manakala anaknya mempunyai senapang patah.

Kara pada mulanya hanya ingin merakam pergaduhan itu namun terkejut apabila dua beranak itu melepaskan tembakan ke arah Howard.

“Pada mulanya, kami membuang tilam buruk itu di tong sampah bersebelahan rumah,” kata Box.

Bagaimanapun, pasangan anak beranak itu kemudiannya mencampakkan semula tilam terbabit di belakang rumah mangsa, berang dengan apa yang berlaku, mangsa menemui Miller dan anak lelakinya, pertengkaran terjadi dan berakhir dengan kematian mangsa.- Agensi