TEHERAN - IRAN. Sebuah masjid di Iran mencetuskan perbalahan gara-gara reka bentuknya yang dikatakan terlalu futuristik dan tidak mempunyai ciri-ciri keislaman.

Tidak seperti masjid-masjid lain di sana, Masjid Vali-e-Asr itu tidak mempunyai kubah atau pun menara, selain menampilkan reka bentuk yang bercorakkan ombak konkrit.

Menurut arkiteknya, reka bentuk itu mencerminkan kesederhanaan dalam agama Islam.

Namun, sebuah portal berita negara itu mendakwa, bangunan tersebut menyerupai sejenis topi yang dipakai golongan Yahudi bernama kippah.

Bagaimanapun, arkiteknya menegaskan sesebuah masjid itu boleh dibina dalam apa jua bentuk sekali pun.

Bahkan masjid pertama yang pernah dibina semasa hayat Nabi Muhammad SAW juga tidak mempunyai kubah mahu pun menara.

Meskipun mendapat pelbagai tentangan, bangunan seluas 25,000 meter persegi itu akhirnya siap dibina selepas sedekad dan menelan belanja AS$16 juta (RM62 juta).

Ia dijangka dibuka kepada orang awam dalam masa beberapa bulan ini. - Agensi