DUBAI - EMIRIAH ARAB BERSATU. Seorang wanita Maghribi didakwa membunuh kekasihnya dan 'menghidangkan' cebisan dagingnya yang dimasak kepada pekerja warga Pakistan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Akhbar The National melaporkan wanita berusia lingkungan 30-an itu melakukan perbuatan itu tiga bulan lalu, namun ia hanya diketahui baru-baru ini selepas penemuan gigi manusia dalam alat pengisar.

Dia kemudiannya mengaku kepada polis dan siasatan telah dilancarkan.

"Wanita itu telah menjalinkan hubungan dengan mangsa selama tujuh tahun. Dia nekad membunuh teman lelakinya selepas mangsa memberitahu akan berkahwin dengan wanita lain dari Maghribi," lapor akhbar itu.

Polis bagaimanapun tidak mendedahkan bagaimana dia dibunuh.

Namun, wanita terbabit dipercayai telah menghidangkan cebisan daging mangsa yang dimasak bersama menu tradisional.

Penemuan menggemparkan itu hanya dibuat selepas ahli keluarga lelaki itu mencarinya di kediaman mereka di bandar al Ain yang terletak bersempadan Oman.

Menurut wanita itu, dia turut meminta bantuan rakannya untuk membersihkan apartmen terbabit selepas kejadian pembunuhan tersebut.

Difahamkan, suspek telah dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan mental. - BBC