SYDNEY - AUSTRALIA. Penyelidik Australia percaya ibu bapa tidak perlu terlalu bimbang dengan jumlah masa yang dihabiskan oleh anak-anak mereka di depan gajet digital, lapor agensi berita China Xinhua.

Saintis Universiti Edith Cowen yang terletak di Australia Barat berkata tempoh yang diluangkan di depan skrin atau ''masa skrin'' bukanlah sesuatu yang tidak sihat kepada kanak-kanak malah boleh memberikan kelebihan apabila mereka mula bersekolah.

Ketua Penyelidik, Donnell Holloway, berkata apa yang dikenali sebagai "jurang aplikasi" kini semakin meluas dalam kalangan kanak-kanak berdasarkan tahap akses mereka.

"Terdapat kecenderungan bahawa akan muncul satu trend yang menyaksikan para guru secara berjenaka telah menyatakan bahawa sesetengah kanak-kanak kini datang ke sekolah dalam keadaan lebih bersedia," kata Holloway kepada Australian Broadcasting Corporation (ABC) pada Rabu.

"Disebabkan aplikasi yang telah mereka gunakan di rumah, (mereka kini lebih bersedia dalam bidang seperti literasi, numerasi serta kemahiran teknikal menggunakan iPad dan komputer."

Tablet dan telefon pintar telah meningkatkan literasi digital pada usia yang lebih muda, katanya.

"Sebelum teknologi skrin sentuh, kanak-kanak berdepan masalah besar untuk mengakses sebuah komputer. Memanipulasi tetikus dan papan kekunci juga bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan."

"Kini dengan teknologi skrin sentuh, segala-galanya dapat diakses oleh mereka. Jadi, ini bermakna ibu bapa dan kanak-kanak sedang melakukan persiapan ke arah pembelajaran awal."

Sehubungan itu, Holloway meminta agar ibu bapa tidak berasa terlalu tertekan dengan masa skrin anak-anak mereka.

"Mereka perlu relaks dan menghilangkan rasa bersalah itu. Hanya fikirkan tentang kandungan yang lebih banyak diakses oleh anak-anak berbanding had waktu tertentu," katanya.

Pasukannya turut mendapati bahawa ibu bapa mempunyai pelbagai sikap terhadap skrin sentuh dalam pembelajaran awal, termasuk satu keluarga yang menolak penggunaan semua bentuk teknologi.

Sementara itu, Shelley Hill dari Persatuan Ibu Bapa Australia berkata garis panduan rasmi yang dibangunkan sebelum ledakan dalam gajet digital boleh pegang berlaku perlu ditambah baik.

Garis panduan itu menyatakan bahawa masa skrin sifar diperuntuk kepada bayi baharu lahir hingga mencecah usia dua tahun manakala bagi kanak-kanak berusia lingkungan dua  hingga lima tahun, masa yang diperuntuk ialah kurang daripada sejam setiap hari.

"Kesemua garis panduan itu sudah lapuk dan perlu dikaji semula, tetapi secara amnya, kami menasihati ibu bapa agar lebih prihatin dan memantau apa yang dilakukan oleh anak-anak mereka," kata Hill. –Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.