LONDON - BRITAIN. Lelaki berusia 45 tahun yang dipercayai terdedah dengan agen saraf, Novichok dilaporkan sudah boleh berbual, namun masih sukar mengangkat kepalanya.

Menurut hospital yang merawat Charlie Rowley, keadaan beliau sudah kembali stabil.

Rowley ditemui sakit di kediamannya di Amesbury berhampiran bandar Salisbury di barat daya England pada 30 Jun lalu bersama pasangannya, Dawn Sturgess, 44, yang meninggal dunia pada Ahad lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Polis Britain siasat kematian akibat Novichok ]

Mereka disahkan terdedah kepada Novichok, agen saraf yang sama digunakan bagi meracun bekas perisik Russia, Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia di Salisbury Mac lalu.

Pihak polis berkata, mereka sudah bertemu Rowley dan akan menemubualnya kembali bagi mengetahui bagaimana pasangan itu boleh terdedah kepada agen saraf berkenaan.

Kematian Sturgess mendorong pihak polis melancarkan siasatan jenayah bagi mengenalpasti kaitan antara insiden di Amesbury dan serangan di Salisbury.

Setakat ini, tiada tangkapan dibuat bagi kedua-dua kes terbabit. - AFP