$entry.content.caption.value
MALE - Negara kepulauan Maldives menerima pemimpin baru selepas Mohammed Waheed Hassan dilantik menjadi Presiden negara itu, semalam, iaitu beberapa hari selepas protes ganas tercetus di negara itu.
Mohammed Waheed yang sebelum ini pernah bertugas sebagai pegawai kanan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengangkat sumpah selepas pemimpin sebelum ini, Mohamed Nasheed meletak jawatan.
“Penyingkiran Nasheed bukan satu rampasan kuasa dan tiada rancangan sebelum ini untuk menaikkan saya sebagai Presiden,” katanya semasa menafikan dakwaan media.
Nasheed melepaskan jawatan, kelmarin, selepas polis negara itu menyertai penunjuk perasaan yang melancarkan protes bagi menentang pemerintahan beliau.
Sementara itu, pihak berkuasa Maldives mengesahkan sedang menyiasat mengenai penemuan botol minuman beralkohol di kediaman Mohamed Nasheed selepas beliau meletak jawatan.
Mengambil minuman beralkohol di luar pusat peranginan pelancong adalah satu jenayah di negara Islam itu.





