LOS ANGELES - AMERIKA SYARIKAT. Mahkamah Agung California pada Rabu, mengarahkan supaya cadangan untuk membahagikan California kepada tiga negeri berasingan dikeluarkan daripada kertas undi  pada pilihan raya November depan.

Usul berkenaan yang berjaya mengumpul cukup tandatangan sokongan penduduk pada Jun lalu, mewajarkan ia diundi dalam pengundian pilihan raya California 2018, meskipun timbul beberapa isu berkaitan kesahihan usul berkenaan, lapor Xinhua memetik sumber mahkamah.

Menurut kertas usul yang diterajui kapitalis teroka Tim Draper, negeri yang paling padat penduduk itu akan dipecahkan menjadi tiga negeri baharu iaitu, California Utara, California dan California Selatan, dengan bandar raya San Francisco, Los Angeles dan San Diego berada di negeri berbeza.

"Adalah lebih baik penduduk negeri California diuruskan oleh tiga kerajaan negeri kecil berasingan, tetapi dalam masa sama mengekalkan sempadan sejarah pelbagai daerah, pekan dan bandar raya", katanya ketika membentangkan usul berkenaan pada September lalu.

Pada 2014 Draper pernah mengusulkan cadangan membahagi California kepada enam negeri, tetapi usul berkenaan gagal mendapat cukup tandatangan penduduk untuk dimasukkan dalam kertas undi pilihan raya. - Bernama