NEW YORK – AMERIKA SYARIKAT. Seorang lelaki maut dijerut bajunya sendiri yang tersangkut pada eskalator kereta api bawah tanah di New York.

Lelaki berusia 48 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri di bahagian atas eskalator dengan sebahagian daripada bajunya tersepit dalam eskalator itu dan bahagian kolar baju menjerut lehernya.

Menerusi laporan SkyNews, pegawai mengenal pasti mangsa sebagai Carlos Alvarez, menurut media AS.

Pihak berkuasa telah dihubungi untuk melaporkan tentang seorang lelaki yang berkelakuan pelik di Stesen Intervale di Longwood, barat daya Bronx.

Mereka tiba di stesen itu kira-kira jam 3.45 pagi waktu tempatan pada Ahad.

Polis berjaya memotong baju yang dipakai lelaki itu dan membawanya ke Hospital Lincoln, tetapi dia kemudian meninggal dunia.

Video pengawasan merakamkan usaha Alvarez untuk membebaskan dirinya tidak berjaya, lapor WPIX/Channel 11.

The New York Post memetik seorang pekerja Pihak Berkuasa Pengangkutan Metropolitan (MTA) yang tidak dinamakan sebagai berkata bahawa ia adalah satu kemalangan yang mana seseorang telah terjatuh dan terseret naik ke atas.

Seorang saksi, Giovanni Fernandez, memberitahu tabloid itu bahawa orang awam yang ada di situ cuba membantunya.

"Ketika saya keluar dari tren, saya nampak lelaki itu tersangkut di eskalator.

"Ramai orang mengelilinginya dan dia berada di bahagian atas.

"Saya nampak darah di kepalanya, kepalanya pecah dan dia tertiarap."

Jurucakap MTA Shams Tarek berkata kejadian tragis dan luar biasa itu sedang disiasat.