JAKARTA - INDONESIA. Petugas kebersihan dari Kepulauan Seribu dan Jakarta Utara bergabung membersihkan sampah sarap di Muara Angke, Jakarta Utara pada Sabtu lalu selepas lautan sampah itu mendapat perhatian banyak pihak.

"Usaha pembersihan itu turut dibantu kira-kira 45 anggota tentera dan jentera pengorek kaut," kata jurucakapnya, Yusen Hardiman.

Jelasnya, timbunan sampah sarap bercampur lumpur dan plastik seperti botol air serta bungkusan makanan ringan di kawasan hutan bakau itu mencecah setinggi 1.5 meter, namun beliau tidak dapat memberi anggaran berat keseluruhannya.

Ketika ini, seramai 90 anggota telah dikerah bersama lapan trak dan empat kapal untuk membersihkan kawasan itu.  

"Pembersihan sampah itu dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu. Ia kemudiannya akan diangkut ke tempat pelupusan sampah Bantargebang. Tiga trak tentera juga digunakan untuk mengangkut sampah sarap tersebut," jelasnya.

Ketua Komuniti Muara Angke, Risnandar berkata, lautan sampah itu muncul akibat fenomena angin barat yang membawa kesemua objek dari laut menghampiri daratan.

Difahamkan, fenomena itu berlaku sejak Disember 2017, namun ia semakin serius pada awal bulan lalu. - Kompas.com