MAZAR-I-SHARIF - AFGHANISTAN. Lapan kanak-kanak, termasuk empat bersaudara terbunuh di Afghanistan ketika bermain dengan peluru mortar yang tiba-tiba meletup.

Dalam letupan semalam, enam lagi dilaporkan cedera termasuk dua yang kehilangan anggota tubuh dan berada dalam keadaan kritikal di hospital di wilayah Faryab.

Semua mangsa berusia antara lima dan 12 tahun.

“Mereka menemui peluru mortar dan membawanya berhampiran rumah kami.

“Mereka tidak tahu apa itu dan cuba membukanya apabila ia tiba-tiba meletup,” kata bapa saudara kepada empat bersaudara yang terkorban, Shukrullah.

“Mereka jumpa peluru mortar yang belum meletup dan bermain dengannya apabila ia meletup,” kata sepupu mangsa, Mohammad Alam yang terdengar letupan kuat.

Pihak berkuasa menyalahkan Taliban yang menawan kampung Koh-e-Sayad minggu lalu, tempat di mana mangsa tinggal dan jurucakap polis Faryab, Abdul Karim Yoresh berkata militan menanam periuk api berhampiran pusat pemeriksaan keselamatan.

Kanak-kanak kerap terbunuh atau kehilangan anggota tubuh disebabkan bahan letupan yang ditinggalkan susulan konflik selama berdekad, tidak dimatikan atau sengaja ditanam. - AFP