NEW DEHLI - INDIA. Lagi insiden dilaporkan ketika berswafoto dan kali ini, dua remaja maut ketika swafoto di landasan kereta api di ibu negara India, Dehli, lapor BBC.

Sekumpulan remaja pergi ke landasan kereta api di timur bandar pada Sabtu untuk mengambil gambar di hadapan kereta api dari arah depan, namun dua remaja yang maut itu gagal mengelak ketika sebuah kereta api tiba dan merempuh mangsa, kata polis.

"Ketika berswafoto, mangsa melihat kereta api menuju ke arah mereka dan mengelak ke tepi tanpa menyedari sebuah lagi kereta api berada di laluan yang lain dan merempuh mangsa," kata polis dipetik The India Express.

Sementara itu, seorang pengawal kereta api berkata, remaja berkenaan telah mengupah jurukamera profesional untuk mengambil gambar di landasan berkenan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Parwaiz Ahmed memberitahu Hindustan Times, pihaknya menemui kamera yang digunakan untuk mengambil gambar dan terdapat beberapa foto dan video.

"Video berkenaan akan dihantar untuk dianalisis manakala beberapa gambar menunjukkan remaja berkenaan melompat dari satu landasan ke landasan lain," katanya.

Kajian yang dilakukan pada tahun lepas menunjukkan India mencatatkan kematian tertinggi ketika berswafoto berbanding negara lain.

Pemikir dari Universiti Mellon dan Institut Maklumat Indraprastha di Dehli berkata, 76 dari 127 kematian disebabkan swafoto di seluruh dunia adalah dilaporkan di India.