YANGON – MYANMAR. Satu lagi siri kekacauan meletus di Taungdwingyi, Magway tengah Myanmar malam tadi, memaksa pasukan keselamatan menggunakan perisai untuk meredakan keadaan, lapor agensi berita China Xinhua, memetik agensi berita Myanmar.

Pada pukul 8.05 malam, kira-kira 50 orang melemparkan batu, memusnahkan beberapa rumah dan kedai di jalan Mayway-Taungdwingyi dan kemudian bergerak menghampiri sebuah masjid yang dikawal polis.

Kira-kira sejam kemudian, satu lagi kumpulan seramai  70 orang sambil membawa lastik dan batu berkumpul di bahagian utara masjid dan ditambah pula dengan 400 orang yang ingin melihat apa yang berlaku menyebabkan keadaan menjadi tegang.

Pasukan polis terpaksa menggunakan perisai apabila mereka enggan bersurai.

Seorang suspek yang melempar batu ditahan polis dan siasatan sedang dijalankan untuk mengesan pihak lain yang turut terlibat.

Baru-baru ini, beberapa siri kekacauan berlaku serentak dengan serangan keganasan di Rakhine Myanmar. - Bernama

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.