LUCKNOW - Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang menghadiri kenduri kahwin bersama ibu-bapanya menjadi mangsa terbaru kes rogol dan bunuh di India.

Lapor media tempatan, insiden yang mencetuskan kemarahan orang ramai itu berlaku di Uttar Pradesh lewat malam semalam.

Insiden menyayat itu muncul selepas India digemparkan dengan kes bunuh dan rogol berkumpulan budak perempuan berusia lapan tahun (Asifa Bano) di Khatua.

Kelmarin, satu lagi kes yang menimbulkan kemarahan seluruh negara dilaporkan berlaku di Surat, Gujarat apabila mayat mangsa rogol dan bunuh berusia 11 tahun ditemui ditinggalkan di kawasan padang kriket.

Sehingga kini, polis belum dapat mengenal pasti identiti mangsa mahupun menjejaki pelaku jenayah terbabit.

Susulan itu (kes di Uttar Pradesh), polis menahan seorang remaja berusia 18 tahun dari kampung Etah, lokasi majlis perkahwinan tersebut diadakan.

"Suspek menarik mangsa ke kawasan semak ketika orang ramai leka berhibur. Selepas menyedari kehilangan mangsa, ibu-bapa serta tetamu melakukan pencarian.

"Lebih mengejutkan, suspek ditemui tidak sedarkan diri akibat mabuk dan berbaring di sebelah mayat kanak-kanak malang tersebut," kata seorang saksi.

Sementara itu, jurucakap polis Akhilesh Chaurasia berkata: "Mangsa berusia lapan atau sembilan tahun. Dia dirogol dan dijerut sehingga mati. Tertuduh berjaya ditangkap."

Parti pemerintah di Uttar Pradesh sebelum ini dihujani kritikan dan kemarahan orang ramai selepas seorang ahli Parlimen didakwa merogol gadis remaja di Unnao. - Times of India