DUBLIN - IRELAND. Demi mengumpul derma bagi rawatan seorang remaja yang menghidap kanser, seorang pemuda mengembara seluruh Scotland sambil membawa bersamanya, sebuah ketuhar gelombang mikro.

Diarmuid McCleary,  tekad mengharungi cuaca musim luruh dengan hanya berbekal beg sandang dan sebuah ketuhar gelombang mikro, dalam usahanya mengumpul wang sebanyak €2,000 (RM9,715) untuk seorang remaja perempuan, penghidap kanser, berusia 14 tahun.

Berasal dari Dublin, Robyn Smyth hanya berusia tiga tahun, apabila didiagnosis dengan neuroblastoma, sejenis kanser yang menyerang tisu saraf.

Peluang terbaik untuk Smyth adalah mendapatkan rawatan percubaan di Hospital Kanak-Kanak Helen Devos di Michigan, Amerika Syarikat.

Tergerak hati untuk membantu keluarga Smyth, Diarmuid memulakan perjalanan dari Belfast ke Cairnryan, Isnin lalu sebagai permulaan pengembaraannya.

Pemuda berusia 26 tahun tersebut, dapat menyeberangi North Channel secara percuma, selain menaiki bas tanpa sebarang bayaran ke Ayr, Selatan Ayrshire, di mana dia ditawarkan penginapan percuma oleh sebuah keluarga.

April tahun lalu, Diarmuid mengembara ke 32 negara di Ireland dalam tempoh 12 hari dengan membawa ketuhar gelombang mikronya dan berjaya mengumpul €3,000 (RM14,573) untuk sebuah pusat kesihatan mental remaja dikenali sebagai Jigsaw.

Menurut Diarmuid, dia mendapat inspirasi melakukan perjalanan ini selepas mendengar kisah seorang lelaki yang mengembara sekitar Ireland dengan membawa peti sejuk pada tahun 90-an.

"Saya mahu membantu mengumpul sedikit derma untuk seorang gadis yang menghidap kanser.

"Saya menemui ramai orang yang berhati mulia namun ada juga yang mengganggap saya tidak siuman," kata Diarmuid yang juga bekas pekerja Kesatuan Pelajar Institut Teknologi Dublin, yang dahulunya membekalkan ketuhar gelombang mikro untuk para pelajar. -Metro.co.uk