NEW DELHI - INDIA. Seorang lelaki ditahan selepas didakwa mengurung dan menyeksa kakaknya selama dua tahun.

Operasi dramatik menyelamatkan mangsa itu dilakukan, semalam oleh polis dan pegawai daripada Suruhanjaya untuk Wanita Delhi (DCW).

Wanita itu yang identitinya tidak didedahkan ditemui dalam keadaan lemah dan dia juga tidak mampu berjalan, bercakap malah tidak mengenali sesiapa.

"Dia berusia 50 tahun, namun kelihatan seperti 90 tahun. Kami temui dia terbaring di atas najis," kata ketua DCW, Swati Maliwal.

Jelasnya, mereka bertindak selepas menerima aduan jiran lelaki tersebut, dia dan isterinya bagaimanapun enggan bekerjasama dan tidak membenarkan pihak berkuasa memasuki kediaman terbabit.

"Polis terpaksa memanjat menerusi rumah jiran mereka dan menjumpai mangsa dalam keadaan menyayat hati," ujarnya.

Pihak berkuasa kemudiannya memberkas lelaki tersebut bersama isterinya untuk membantu siasatan. - BBC