YALA – THAILAND. Sekumpulan lelaki lengkap bersenjata menahan sebuah bas ekspres dua tingkat di daerah Benang Setar, wilayah Yala di selatan Thailand dan bertindak membakarnya.

Ketua Polis Daerah Benang Setar Kol Mustafa Manit berkata, kumpulan lelaki terbabit sebelum itu mengarahkan 11 penumpang bas terbabit termasuk pemandunya meninggalkan kenderaan itu sebelum membakarnya.

"Lelaki itu turut menabur paku di jalan raya serta membakar tayar dan menebang pokok bagi menghalang bantuan pihak keselamatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini dan menambah, kira-kira 10 lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian yang berlaku pada 2.30 petang (waktu tempatan).

Menurutnya, bas ekspres terbabit sedang dalam perjalanan dari Betong ke Yala.

Berikutan kejadian itu, pihak polis kata Mustafa terpaksa menutup jalanraya itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku terhadap pengguna jalan raya yang lain. - Bernama