SEHINGGA kini, India dan China cuba memenangi isu di sempadan Himalaya, malah mereka juga bersaing untuk meluaskan pengaruh di Myanmar, tetapi bagaimana kedua kuasa besar di Asia ini berada di halaman yang sama mengenai krisis Rohingya?

Menurut laporan SCMP, India dan China sah menyokong kuat kerajaan Aung San Suu Kyi, berbeza dengan negara Barat dan negara Islam di Asia yang masih menuntut jawapan dan penyelesaian berkenaan krisis tersebut.

Minggu lepas, Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina menyuarakan keinginan untuk menghalang perpindahan kumpulan pejuang ke negaranya dan menawarkan bantuan ketenteraan kepada Tatmadaw (angkatan tentera kerajaan Myanmar) untuk mengalahkan kumpulan pejuang Tentera Penyelamat Rohingya Arakan (ARSA), tetapi Myanmar belum menyahut bantuan.

India juga takut dikaitkan dengan kumpulan pejuang. Agensi risikannya melaporkan ARSA mempunyai kaitan rapat dengan Jamaat-ul-Mujahideen (JMB) dari Bangladesh dan Indian Mujahideen. Kesemuanya mendapat sokongan dari kumpulan Lashkar-e-Taiba dari Pakistan yang dituduh bertanggungjawab terhadap serangan pengganas pada 2008 di Mumbai.

"Kami berdiri di sebelah Myanmar pada waktu krisis, kami dengan keras mengecam serangan pengganas pada 24-25 Ogos dan mengecam kematian anggota polis dan tentera (Myanmar), kami akan menyokong Myanmar dalam perjuangannya menentang pengganas," kata kenyataan dari Kementerian Hubungan Luar India sehari selepas ARSA menyerang lebih 30 pondok polis dan tentera.

Serangan ARSA tersebut didakwa adalah punca utama serangan balas kejam dari kerajaan Myanmar yang menyebabkan lebih setengah juta etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

India juga menyuarakan keinginan untuk mengusir lebih 40,000 pendatang haram Rohingya, termasuk 15,000 yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa  Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), sekaligus menarik kritikan dari PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu).

"Kami berharap masyarakat antarabangsa akan mewujudkan persekitaran luar yang baik supaya Myanmar dapat menyelesaikan masalah dengan betul," kata duta China ke Myanmar, Hong Liang berkenaan krisis Rohingya.

Projek besar India, China di Rakhine

Kedua-dua China dan India mempunyai projek infrastruktur di Rakhine; projek Kaladan yang dibiayai oleh India direka untuk mewujudkan pautan sungai-laut-darat melalui pelabuhan Sittwe dan pelabuhan Kyauk Phyu yang dibiaya oleh China yang dikatakan titik permulaan saluran paip minyak dan sambungan laluan kereta api dari Yunnan di China.

Bayangan pelukis mengenai projek pelabuhan Kyauk Phyu yang dibiayai China. - Foto SCMP

Walaupun projek-projek tersebut tidak termasuk dalam  kawasan konflik di Rakhine, ancaman pengganas telah pun melimpah ke kawasan-kawasan yang dilabur kedua-dua negara.

"Bagaimana jika ARSA menyerang kapal India di sungai Kaladan atau meletupkan paip minyak Yunnan-Kyauk Phyu?" kata bekas Timbalan Ketua Agensi Pertahanan dan Risikan India, Major Jeneral Gaganjit Singh.

Ketika Perdana Menteri India, Narendra Modi berjumpa dengan Presiden China, Xi Jinping di sidang kemuncak BRICS awal September lepas, kedua-dua ketua negara bersetuju untuk 'bekerjasama secara konstruktif untuk kestabilan serantau' yang menekankan krisis Rohingya.

Perdana Menteri India, Narendra Modi bersalaman dengan Presiden China, Xi Jinping di sidang kemuncak BRICS. - Foto EPA

"China menyokong Myanmar untuk mengekalkan pengaruhnya yang dibina berdasarkan bantuan pembangunan besar-besaran dan pembekalan perkakasan ketenteraan selama tiga dekad, India menyokong Myanmar untuk membina pengaruh, sebahagiannya dengan pembiayaan pembangunan dan sebahagiannya dengan memainkan peranan pada hubungan peradaban berdasarkan warisan Buddha yang dikongsi, "Kata Binoda Mishra, yang mengetuai Pusat Pengajian Hubungan dan Pembangunan Antarabangsa di India.

"Dan kedua-dua India dan China melibatkan diri dengan kerajaan Myanmar kerana negara itu adalah kunci kepada dasar 'Akta Timur' India dan ‘Satu Jalur, Satu Laluan’ China," tambah Binoda.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • NAYPYIDAW - MYANMAR . China mencadangkan pelan tiga fasa untuk menyelesaikan krisis Rohingya bermula dengan gencatan senjata di Rakhine, Myanmar, supaya pelarian boleh kembali ke tanah air dari Bangladesh.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.