YANGON - MYANMAR. Dua wartawan Reuters dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh mahkamah di negara itu kerana memiliki dokumen rasmi tanpa izin ketika menyiasat keganasan terhadap etnik minoriti Rohingya.

Wa Lone, 32, dan Kyaw Soe Oo, 28, ditahan sejurus menerima dokumen rasmi tersebut yang diberikan kepada mereka oleh pihak polis.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah melanggar Akta Rasmi Rahsia yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun.

Selain itu, mereka turut menyatakan bahawa mereka telah diperangkap oleh polis.

[ARTIKEL BERKAITAN: Wartawan Reuters dapat sokongan banyak pihak]

“Saya tidak takut. Saya tidak melakukan sebarang kesalahan. Saya percayakan keadilan, demokrasi dan kebebasan,” kata Wa Lone.

Disember lalu, Wa Lone dan Soe Oo ditahan selepas dituduh mempunyai bukti tentang pembunuhan 10 lelaki Rohingya oleh pasukan pertahanan di sebuah perkampungan di Inn Din dekat utara Rakhine.

Kes penangkapan berkenaan menarik perhatian seluruh dunia tentang bagaimana teruknya kebebasan akhbar di bawah kerajaan Penasihat Negara Aung San Suu Kyi. - Agensi