PYONGYANG - KOREA UTARA. Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mengumumkan negaranya akan menghentikan serta merta ujian peluru berpandu dan nuklear.

Pengumuman mengejutkan itu dibuat, semalam selepas ketegangan semakin reda di Semenanjung Korea menjelang sidang kemuncak bersejarah antara Pyongyang dan Seoul pada minggu depan.

Korean Central News Agency (KCNA) melaporkan Pyongyang juga akan menutup tapak ujian nuklear mereka sebagai sebahagian usaha negara itu untuk meneruskan pertumbuhan ekonomi dan keamanan serantau.

"Perkembangan nuklear telah diteruskan secara saintifik dan mengikut susunan yang mengesahkan pelaksanaan senjata nuklear hingga selesai. Kami tidak lagi memerlukan   sebarang ujian nuklear atau pelancaran peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) dan misil jarak pertengahan (IRBM).

"Ini kerana misi di tapak ujian nuklear telah tamat," lapor agensi berita itu memetik kenyataan Jong-un ketika mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti pemerintah, Parti Pekerja.

Korea Utara turut bersedia untuk menyertai usaha antarabangsa bagi menghentikan kesemua ujian nuklear dan berikrar tidak akan menggunakan senjata nuklear selagi tidak ada ancaman ke atas negara tersebut.

Difahamkan, ia adalah kali pertama Jong-un menyatakan pendiriannya terhadap program senjata nuklear Pyongyang selepas beliau bakal bertemu Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in pada akhir bulan ini dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada akhir bulan depan atau awal Jun.

Sejak November lalu, Korea Utara tidak melakukan sebarang ujian nuklear dan tapak ujian Punggye-ri bakal dirobohkan sebagai 'jaminan telus' untuk menamatkan program kontroversi tersebut.         

AS, Seoul, China, Jepun beri respons positif

Perkembangan itu turut disambut baik Trump yang memberi reaksi positif selepas beberapa minit pengumuman itu dibuat.

"Korea Utara telah bersetuju untuk menggantung kesemua ujian nuklear dan menutup tapak ujian utama. Ia adalah berita baik untuk Korea Utara dan dunia- kemajuan besar! Nantikan sidang kemuncak kami" kata jutawan hartanah itu menerusi Twitter.

Seoul turut mengalu-alukan keputusan itu yang disifatkan 'kemajuan bermakna' untuk langkah nyahnuklear di Semenanjung Korea.

"Ia akan mewujudkan persekitaran sangat positif untuk kejayaan akan datang menjelang sidang kemuncak antara Korea dan Pyongyang-Washington," menurut pejabat presiden dalam satu kenyataan.

Selain itu, jurucakap Kementerian Luar China, Lu Kang juga percaya keputusan sekutu utama mereka itu akan membantu memulihkan situasi di Semenanjung Korea.

Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe juga memberi respons positif terhadap keputusan tersebut.

"Apa yang penting adalah langkah nyahnuklear ini perlu dibuktikan dan disahkan. Saya mahu menekankan perkara ini," ujarnya.

Tahun lalu, Pyongyang melancarkan ujian nuklear keenam 'paling berkuasa' dan menguji misil yang didakwa mampu mencapai tanah besar AS yang mana tindakan provokasi itu telah mencetuskan perang retorik antara Jong-un dan Trump. - Agensi