COPENHAGEN - DENMARK. Kenyataan seorang menteri Denmark yang menyifatkan berpuasa pada bulan Ramadan sebagai 'bahaya' kepada masyarakat dan menggesa orang Islam mengambil cuti sepanjang tempoh tersebut telah mencetuskan kemarahan banyak pihak.

Menteri Imigresen, Inger Stojberg berkata, berpuasa ketika waktu bekerja boleh menimbulkan cabaran kepada masyarakat dan beliau turut memberi contoh beberapa pekerjaan seperti pemandu bas yang mana mereka mungkin tidak boleh fokus kerana terpaksa menahan lapar.

"Saya menyarankan orang Islam supaya bercuti pada bulan Ramadan untuk mengelakkan sebarang kesan negatif terhadap masyarakat," katanya menerusi kenyataan disiarkan akhbar tabloid, kelmarin.

Susulan kenyataan kontroversi itu, Kesatuan Islam Denmark bertindak memberi kenyataan balas dengan menegaskan orang Islam masih boleh 'berfungsi' kepada komuniti walaupun sedang berpuasa.

"Komen Stojberg tentang puasa sememangnya satu idea yang tidak masuk akal. Tiada maklumat atau statistik menunjukkan pemandu bas atau pekerja lain boleh mendatangkan bahaya ketika berpuasa," kata pengerusi Kesatuan Islam Finland, Pia Jardi.   

Sementara itu, jurucakap pengendali bas utama di Copenhagen, Arriva memaklumkan tidak ada rekod atau sejarah kemalangan bas berlaku ketika Ramadan.

Perunding integrasi Islam, Natasha al-Hariri turut mendakwa Stojberg sengaja membangkitkan isu itu tanpa angka, tanpa statistik dan tanpa anekdot. - Press TV