KUALA LUMPUR - Kolumnis akhbar Arab Saudi, Hamza Kashgari Mohamad Najeeb yang didakwa menghina Nabi Muhammad S.A.W dan Islam memfailkan permohonan habeas corpus agar mahkamah memutuskan sama ada penahanan, penangkapan dan penghantarannya ke Arab Saudi semalam sah atau tidak.
Permohonan tersebut difailkan oleh rakannya, Asma' Abdul Razak melalui peguam Muhammad Afiq Mohamad Noor dan Murni Hidayah Anuar hari ini.
Hamza Kashgari, 23, selaku pemohon menamakan Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Imigresen, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.
Berdasarkan notis usul itu, beliau memohon satu perintah agar dihadapkan ke mahkamah bagi tujuan perbicaraan dan tidak ditahan semula.
Asma, 31, dalam afidavit yang difailkan bersama-sama permohonan itu berkata, pada 4 Februari lalu, Hamza Kashgari menghantar pesanan menerusi Twitter iaitu puisi sempena Hari Kelahiran Nabi Muhammad S.A.W dan memadamkan tulisan itu keesokan hari.
Menurut Asma', pihak berkuasa Arab Saudi pada 8 Februari lalu mengeluarkan waran tangkap terhadap pemohon atas tuduhan murtad kerana menghina Nabi Muhammad dan beliau juga diisytiharkan murtad oleh Majlis Ulama Besar negara itu dan sekiranya didapati bersalah, akan dijatuhkan hukuman bunuh.
Hamza Kashgari ditangkap pada 9 Februari lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, yang mana pada ketika itu beliau dijadualkan dalam perjalanan ke Auckland, New Zealand.
Peguam Murnie memaklumkan Hamza Kashgari kini berada dalam tahanan polis di negaranya.
Beliau berkata prosiding pendengaran penuh bagi permohonan habeas corpus akan didengar esok.
Selain itu, Murnie berkata pihaknya telah mendapat perintah 'interim ex-parte' dari Hakim Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas Datuk Rohana Yusuf bagi menghalang penghantaran Hamza Kashgari ke negaranya sementara menunggu pendengaran penuh habeas corpus.





