THE HAGUE - NETHERLANDS . Bekas ketua militan dari Republik Afrika Tengah yang digelar 'Kolonel Rambo' tiba di ibu pejabat Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague untuk dibicarakan.

Menurut jurucakap ICC, Fadi El Abdallah, Alfred Yekatom, 43, dipindahkan ke pusat tahanan ICC di Belanda Sabtu lalu dan bakal dibicarakan atas tuduhan jenayah perang dan kemanusiaan.

Yekatom merupakan seorang bekas tentera yang dilantik menjadi menjadi ahli parlimen pada 2016, beliau dituduh mengarahkan kira-kira 3,000 ahli pasukan Kristian anti-Balaka pimpinannya termasuk tentera kanak-kanak untuk melancarkan serangan ke atas Muslim Seleka antara Disember 2013 dan Ogos 2014 di bandar Bangui dan beberapa lokasi lain.

Ketua pendakwa ICC, Fatou Bensouda berterima kasih kepada semua pihak yang membantu membawa 'Kolonel Rambo' ke muka pengadilan.

"Dia harus bertanggungjawab di atas perbuatannya," kata Bensouda yang turut melahirkan simpati terhadap derita yang ditanggung keluarga mangsa berikutan kekejaman Yekatom sebelum ini.

Republik Afrika Tengah berdepan isu keganasan sejak bulan Mac 2003, apabila General Francois Bozize menggulingkan bekas Presiden Ange-Felix Patasse dalam satu rampasan kuasa.- Press TV