ANKARA - Menteri Luar Turki pada Jumaat berkata pihaknya tidak pernah berkongsi sebarang rakaman audio dalam kes Jamal Khashoggi dengan sesiapapun, meskipun terdapat laporan bahawa Ankara telah menyerahkan satu rakaman berkaitan wartawan yang dilaporkan hilang itu kepada Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita China Xinhua.

"Turki tidak memberikan rakaman itu kepada mana-mana orang atau negara. Turki tidak pernah memberikan sebarang pita audio kepada Pompeo atau mana-mana pegawai AS," kata Mevlut Cavusoglu kepada media ketika berkunjung ke Albania.

Menurut akhbar Hurriyet Daily, menteri itu turut memberitahu pemberita bahawa Turki mempunyai bukti dan maklumat yang diperoleh menerusi siasatannya berhubung kehilangan Khashoggi pada 2 Okt dan akan berkongsi hasilnya secara telus dengan seluruh dunia.

Khashoggi, yang merupakan seorang wartawan dan kolumnis Washington Post, telah dilaporkan hilang selepas beliau memasuki Konsulat Arab Saudi di Istanbul.

Kes itu menarik perhatian seluruh dunia. Pihak berkuasa Turki mengesyaki bahawa wartawan itu mungkin telah dibunuh ketika berada dalam konsulat namun Arab Saudi menafikan dakwaan tersebut.

Selepas Turki dan Arab Saudi setuju bekerjasama dalam siasatan kes itu, pasukan penyiasat Turki telah menggeledah bangunan konsulat terbabit dan kediaman konsul jeneral.

Setiausaha Negara AS Mike Pompeo telah membincangkan kes tersebut dengan kepimpinan Turki ketika melakukan lawatan singkat ke Ankara pada Rabu, dan berkata AS sedia membantu Turki menyiasat kes kehilangan wartawan Arab Saudi itu. - Bernama