BANGKOK - THAILAND. Kerajaan Thailand mengesyaki insiden keganasan semalam di selatan negara itu mungkin dilakukan oleh anggota Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang tidak menyertai rundingan damai sekarang yang Malaysia menjadi perantara.

Timbalan Perdana Menteri, Jen Prawit Wongsuwan yang menaruh rasa syak terhadap mereka yang bertanggungjawab bagi keganasan terbaharu di kawasan yang bergolak itu mahu pasukan keselamatan memburu semua suspek dan menangkap mereka.

"Kita perlu mengkaji sebab di sebalik keganasan tetapi ia mungkin dilakukan oleh sesetengah anggota BRN yang tidak mengambil bahagian dalam rundingan damai," kata beliau kepada media ketika ditemui di Rumah Kerajaan di sini hari ini.

BRN yang dikatakan kumpulan bersenjata terbesar dan paling berkemampuan di selatan Thailand, telah menjauhi rundingan damai yang diusahakan sekarang BRN dan kumpulan itu juga dipersalahkan terhadap kebanyakan insiden serangan bersenjata di wilayah-wilayah di selatan.

Malaysia menjadi perantara dalam rundingan damai antara wakil dari kerajaan Thailand dan Majlis Syura Patani (MARA Patani), gabungan yang mewakili beberapa kumpulan militan di selatan Thailand.

Kuala Lumpur juga menjadi hos bagi beberapa pusingan rundingan antara kerajaan Thailand dan Mara Patani.

Dalam insiden terbaharu dua hari lepas, sekumpulan tujuh lelaki bersenjata menyerbu ke sebuah bilik pameran kereta di Nathawee, Songkla dan melarikan tujuh trak pikup selain menahan empat daripada pekerja syarikat tersebut sebagai tebusan.

Mereka memasang bom buatan sendiri pada tiga daripada trak yang dicuri itu dan meletupkannya di sebatang jalan di Nongchik dan di hadapan sebuah balai polis di daerah Mayo, Pattani, mencederakan beberapa anggota keselamatan.

Kumpulan bersenjata itu juga membunuh seorang daripada tebusan sementara seorang daripada militan ditembak mati oleh pasukan keselamatan semasa bertempur di Nongchik.  

Sementara itu, Prawit, yang juga Menteri Pertahanan berkata pasukan keselamatan telah berjaya menjejaki seorang daripada suspek yang terlibat dalam insiden semalam dan menangkapnya selain mengenal pasti secara positif empat daripada suspek.

Beliau berkata, pihak berkuasa kini dalam proses untuk mengeluarkan waran tangkap ke atas empat daripada anggota militan yang dikenal pasti.

Menurut beliau, kerajaan Thailand berhubung dengan Malaysia dari semasa ke semasa mengenai rundingan damai yang diusahakan sekarang termasuk kemungkinan mengalu-alukan penyertaan kumpulan lain dalam rundingan.

"Semua kumpulan harus menyertai rundingan, jika tidak keganasan tida akan berakhir dengan mudah,” kata beliau yang bertanggungjawab bagi hal ehwal dalam negeri. - Bernama