TOKYO - JEPUN. Kerajaan Jepun semalam meluluskan rang undang-undang membenarkan Maharaja Akihito turun takhta di bawah langkah pertama dalam tempoh dua abad.

Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshihide Suga berkata, dokumen tersebut akan dikemukakan di Parlimen untuk dibentangkan sebelum mendapat kelulusan akhir.

Jelasnya, keputusan untuk turun takhta perlu diambil dalam tempoh tiga tahun selepas ia menjadi undang-undang.

Awal tahun lalu, terdapat laporan menyatakan Akihito bakal turun takhta pada akhir Disember 2018 dan bakal digantikan dengan Putera Mahkota, Naruhito pada 1 Januari 2019. 

Rancangan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi selepas ia mula tersebar pada Julai lalu dan kira-kira sebulan selepas itu baginda secara terbuka menyatakan hasrat untuk menyerahkan takhta kepada putera sulungnya berikutan tahap kesihatannya yang semakin menurun.

Bagaimanapun, undang-undang di negara terbabit tiada peruntukan hingga memerlukan rang undang-undang itu digubal kerana status maharaja isu sensitif di Jepun. - Reuters

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TOKYO - JEPUN. Parlimen Jepun meluluskan rang undang-undang kontroversi yang melonggarkan kekangan ke atas tentera yang dilihat berpotensi untuk menyaksikan mereka melancarkan perang di luar negara untuk pertama kali sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.