RAMALLAH - TEBING BARAT . Beberapa pelampau Yahudi telah melakukan vandalisme ke atas beberapa kenderaan persendirian milik penduduk Palestin di kawasan tengah Tebing Barat.

Mereka turut menconteng grafiti berunsur perkauman selain mengelar tayar beberapa kereta yang diparkir.

Timbalan Ketua Majlis Perkampungan Marda, Bassam Ibdah berkata, kumpulan ekstremis itu menyelinap masuk ke kampung itu yang terletak 18 kilometer barat daya Nablus pada awal pagi tadi.

"Kira-kira tujuh kenderaan milik penduduk tempatan menjadi sasaran vandalisme," ujarnya.

Pada 14 Oktober lalu, sekumpulan pelampau Yahudi dilaporkan menyerang kenderaan penduduk di selatan Nablus.

Pegawai yang memantau dasar penempatan haram Israel di utara Tebing Barat, Ghassan Daghlas memberitahu, kereta penduduk Palestin dibaling batu ketika melalui jalan menghubungkan Nablus ke Ramallah.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan.

Dua hari sebelum itu, ibu kepada lapan anak, Aisha Muhammad Talal al-Rabi, 47, terbunuh manakala suaminya cedera selepas kereta mereka dilempar batu oleh pelampau Yahudi berhampiran pusat pemeriksaan Zaatara di Nablus. - Press TV