CHIANG RAI - THAILAND.Unit SEAL Tentera Laut Thailand tidak pasti sama ada keajaiban atau kemajuan sains yang membolehkan kejayaan misi menyelamat 12 remaja Thai dan jurulatih bola sepak mereka, semalam.

"Kami tidak tahu ia keajaiban, sains atau apa. Semua 13 anggota pasukan Wild Boar berjaya keluar dari gua," kata unit itu di laman Facebook.

Kesemua 13 mangsa terperangkap di dalam gua Tham Luang yang dinaiki air selama lebih dua minggu sebelum berjaya dikeluarkan dengan selamat.

Anggota pasukan Wild Boar berusia 11 hingga 16 tahun itu bersama-sama jurulatih mereka, terperangkap ketika meneroka gua berkenaan pada 23 Jun lalu, hujan lebat menyebabkan laluan terowong dinaiki air banjir.

Mangsa ditemui pada hari kesembilan dalam keadaan lapar dan kepenatan di tebing berlumpur beberapa kilometer di dalam gua oleh dua penyelam Britain.

Operasi menyelamat dilancarkan Ahad lalu berjaya membawa keluar empat mangsa.

[ARTIKEL BERKAITAN: Usaha bawa keluar mangsa terperangkap bermula]

[ARTIKEL BERKAITAN: Operasi menyelamat disambung semula]

[ARTIKEL BERKAITAN: Dua remaja Thai berjaya dibawa keluar]

[ARTIKEL BERKAITAN: Empat disahkan berjaya dibawa keluar ]

[ARTIKEL BERKAITAN: Sah lapan berjaya diselamatkan]

[ARTIKEL BERKAITAN: Budak terakhir dan jurulatih berjaya dibawa keluar]

[ARTIKEL BERKAITAN: Operasi menyelamat budak bola berakhir ]

Empat lagi diselamatkan kelmarin manakala bakinya berjaya dikeluarkan semalam.

Kegembiraan itu disulami kesedihan susulan kematian seorang bekas penyelam tentera laut yang maut ketika dalam misi menyampaikan bekalan oksigen kepada mangsa. - Reuters