HAWTHORNE - AMERIKA SYARIKAT. Jutawan dan hartawan fesyen dalam talian Jepun, Yusaku Maezawa bakal menjadi pelancong pertama terbang mengelilingi bulan menggunakan roket Space X pada awal tahun 2023.

Perjalanan Yusaku, 42, yang merupakan individu ke-18 terkaya di Jepun dengan aset kekayaan AS$3 bilion (RM12.4 bilion) adalah yang pertama sejak misi terakhir AS Apollo pada 1972.

“Sejak kecil, saya sangat sukakan bulan. Ini adalah impian seumur hidup saya,” katanya dalam satu pertemuan di ibu pejabat Space X di California.

Hobi lain Yusaku termasuk mengumpul karya berharga seni moden dan kecintaannya terhadap seni mendorong dia untuk menjemput beberapa artis bagi sama-sama menyertai pengembaraanya ke bulan.

“Saya ingin menjemput enam hingga lapan artis dari seluruh dunia untuk menyertai saya dalam misi ke bulan.

“Mereka akan diminta untuk mencipta sesuatu selepas kembali ke bumi. Karya tersebut akan memberi inspirasi kepada idea yang ada dalam diri kita semua,” katanya.

Ahli perniagaan Dennis Tito adalah pelancong angkasa pertama ke Stesen Angkasa Antarabangsa pada 2001 dengan bayaran AS$20 juta (RM83 juta). - ABS News