SYDNEY - Stesen radio Australia, Sydney 2Day FM akan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) ekoran  tragedi kematian seorang jururawat hospital di London minggu lalu.

Jururawat itu dilaporkan membunuh diri ekoran panggilan palsu yang dibuat oleh dua DJ dari stesen itu, yang menyamar sebagai Ratu Elizabeth dan Putera Charles untuk mengetahui keadaan kesihatan Duchess of Cambridge Selasa lalu.

Jacintha Saldanha ditemui mati tiga hari selepas menerima panggilan palsu itu.

Panggilan palsu itu dibuat oleh Mel Greig dan Mickael Kristian yang kini masing-masing digantung tugas dan sedang menerima khidmat kaunseling.

Ahli Lembga Pengarah Austereo Southern Cross yang memiliki stesen radio berkenaan sudah bermesyuarat semalam bagi membincangkan surat yang mereka terima dari Hospital King Edward VII, tempat Saldanha bekerja.

Pengerusinya, Max Moore-Wilton berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama kepada mana-mana pihak yang mahu menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.

“Kami juga sedih dengan kejadian yang menimpa jururawat itu tetapi terlalu awal untuk membincangkan butir-butir penuh mengenai kejadian ini.

“Kami boleh mmeberi jaminan yang kami akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak yang mahu menjalankan siasatan berhubung kes ini,” katanya Max.

Beliau turut menambah, “kami juga memberi jaminan yang tindakan segera akan diambil dan akan mengkaji semula sistem siaran kami."

Satu inkues bunuh diri Saldanha juga akan dibuka beberapa hari lagi.

Suami Saldanha, Ben Barboza ada menulis status terkini melalui Facebook mengenai mendiang isterinya.

“Saya kehilangan isteri saya yang tercinta dengan cara paling tragis. Dia akan dikebumikan di Shirva, India,” katanya melalui Facebook.