• Joker punca Heath Ledger temui ajal? Joker punca Heath Ledger temui ajal?
  • KEMATIAN Ledger pada pertengahan Januari 2008, disahkan berpunca daripada pengambilan dos dadah berlebihan KEMATIAN Ledger pada pertengahan Januari 2008, disahkan berpunca daripada pengambilan dos dadah berlebihan
1 /

Pendedahan diari Joker

WATAK Joker digambarkan sebagai peranan paling rumit buat Ledger sekali gus memberi tanggapan kepada dunia bahawa ia turut memberi kesan kepada anak kelahiran Australia ini mendalaminya.

Kematian Ledger pada pertengahan Januari 2008, disahkan berpunca daripada pengambilan dos dadah berlebihan akibat terlalu mendalami dan ingin mencipta sifat jahat sebagai Joker di dalam filem The Dark Knight.

Adakah ia benar atau rekaan media Barat semata-mata?

Pertengahan Mei, Kim Ledger iaitu bapa aktor kacak ini mendedahkan anak lelakinya itu amat mendalami karakter Joker sehingga mencipta diari watak itu.

Menerusi diari yang bertajuk 'Joker', Ledger telah menyenaraikan berbaris ciri-ciri dan sifat-sifat yang patut ada pada diri antagonis itu.

Pemenang Pelakon Tambahan Terbaik Oscar itu dikatakan mengambil banyak inspirasi daripada watak Malcolm McDowell menerusi filem berunsur jenayah, Clockwork Orange serta sifat seekor dubuk.

"Demi mendalami watak Joker, beliau sanggup bersendirian di dalam bilik hotel berminggu lamanya. Tindakan itu semata-mata untuk merangsang watak. Itu adalah perangai Ledger.

"Beliau sanggup berbuat apa saja demi mendalami watak tetapi saya tidak sangka 'Joker' telah membunuhnya.

"Ledger sanggup menganggap dirinya sebagai Joker yang dicipta secara berperingkat," kata Kim.

Salah satu bahagian yang menjadi tumpuan Ledger dalam diari berkenaan membabitkan satu babak di hospital.

Diari Joker itu turut diselitkan dengan ujian solekan yang dilakukan lapan bulan sebelum kematiannya.

"Pada muka surat terakhir, Ledger turut menulis perkataan selamat tinggal. Ia amat pilu untuk ditatap," katanya.

Filem The Dark Knight bagaimanapun, tetap ditayangkan kira-kira enam bulan selepas kematiannya.

Berbalik ketika detik Ledger masih hidup, aktor yang memiliki senyuman manis itu pernah memberitahu majalah Empire bahawa beliau sangat takut terhadap watak Joker tetapi tetap mahu menampil perbezaan.

"Saya hanya duduk di sebuah bilik hotel di London selama kira-kira sebulan, bersendirian daripada orang ramai, menulis diari sebagai Joker dan mengadakan beberapa eksperimen menghasilkan suaranya.

"Yang penting saya dapat menghasilkan suara ketawa yang ikonik sebagai Joker.

"Namun akhirnya saya sedar, Joker telah membuatkan saya gila di mana hati saya bertukar keras.

"Sememangnya Joker adalah gila, berdarah sejuk dan si badut yang suka membunuh," kata Ledger dalam temu bual terakhirnya.

Ketika hidup

Jika anda berusia lingkungan 20-an hingga 30-an, pasti filem komedi remaja Hollywood, 10 Things I Hate about You terpacul di fikiran selepas melihat wajah lelaki kacak ini.

Nama Ledger diangkat sejurus berjaya membawa watak utama filem tersebut. Selain itu, beliau turut diberi peranan utama dalam filem sanjungan Australia, Two Hands, yang diarahkan oleh Gregor Jordan.

Ledger semakin kuat pada 2001 selepas Anugerah ShoWest untuk “Pelakon Lelaki Masa Depan” bagi persembahannya dalam The Patriot, serta filem A Knight’s Tale yang amat popular.

Dalam 2005, Ledger menerima anugerah “Pelakon Lelaki Terbaik 2005” untuk peranannya dalam filem Brokeback Mountain daripada kedua-dua Lingkungan Pengkritik Filem New York dan Lingkungan Pengkritik Filem San Francisco.

Dia juga dicalonkan untuk Anugerah Akademi untuk “Pelakon Lelaki Terbaik”.

Pada musim bunga 2006, Ledger diumumkan akan melakonkan watak Bob Dylan dalam filem I’m Not There.  

Pada 31 Julai 2006, Ledger disahkan secara rasmi untuk berlakon sebagai The Joker, orang jahat buku komik ikonik, dalam filem The Dark Knight, susulan filem 2005 Batman Begins, di samping I’m Not There yang dilakon oleh
Christian Bale yang dijangka siap pada 2008.


TRIVIA
-Dilahirkan pada 4 April 1979 di Perth, Australia Barat.
-Bapanya bernama Kim Ledger, seorang pelumba kereta dan jurutera yang membangunkan syarikat Kejuteraan Besi Ledger. Ibunya yang juga seorang guru Perancis bernama Sally Ledger.
-Berketurunan campuran Inggeris dan Scotland.
-Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Mary's Mount di Gooseberry Hill, kemudian ke Sekolah Guilford Grammar iaitu sekolah pertama Ledger berlakon sebagai Peter Pan pada usia 10 tahun.
-Ibu bapa berpisah sewaktu Ledger berusia 11 tahun.
-Mendapat inspirasi berlakon daripada kakaknya, Kate yang juga seorang aktres kemudian menjadi ejen publisiti.
-Selepas memegang beberapa watak TV dan filem Australia dalam 1990, Ledger berpindah ke Amerika Syarikat (AS) dalam 1998 bagi mengembangkan kerjayanya.
-Pernah menjalinkan hubungan dengan ramai pelakon wanita terkenal seperti Lisa Zane, Heather Graham dan Naomi Watts.
-Dalam 2004, Ledger bercinta dengan pelakon Michelle Williams selepas bertemu di set penggambaran filem Brokeback Mountain dan dikurniakan seorang anak perempuan bernama Matilda Rose pada 28 Oktober 2005.
-Selepas berpisah dengan Williams pada penghujung 2007, Ledger mula menjalinkan hubungan dengan model Helena Christensen dan Gemma Ward.
-Antara filem popular hasil lakonan Ledger adalah 10 Things I Hate About You (1999), The Patriot (2000), A Knight’s Tale (2001), Monster’s Ball (2001), Lords of Dogtown (2005), Brokeback Mountain (2005), Candy (2006), I’m Not There (2007), The Dark Knight (2008), dan The Imaginarium of Doctor Parnassus (2009).
-Turut menerbitkan dan mengarah video muzik serta bercita-cita untuk menjadi pengarah filem.
-Disahkan meninggal dunia pada 22 Januari 2008 kerana dos dadah berlebihan.