BEIJING - CHINA. Pengasas dan pengerusi, Alibaba Group Holding Ltd, Jack Ma, akan melepaskan jawatannya di firma perdagangan elektronik terbesar itu pada 10 September 2019, menurut kenyataan syarikat berkenaan hari ini.

Ma akan kekal sebagai pengerusi eksekutif selama setahun bagi memastikan peralihan lancar sebelum menyerahkan tugas kepada ketua pegawai eksekutif Daniel Zhang.

Beliau juga akan berada di lembaga pengarah Alibaba sehingga mesyuarat pemegang saham tahunan pada tahun 2020.

"Selaku pengerusi eksekutif dalam tempoh 12 bulan akan datang, saya dan Daniel akan bekerjasama bagi memastikan peralihan yang lancar dan berjaya.

"Bagi saya, masih banyak impian untuk diteruskan. Mereka yang mengenali saya tahu bahawa saya tidak suka duduk diam," katanya yang melepaskan jawatan ketua eksekutif pada 2013.

Ma, yang menyambut ulangtahun ke-54 hari ini, merupakan seorang guru bahasa Inggeris sebelum memulakan syarikat Alibaba pada tahun 1999 dan seterusnya menjadi antara tokoh perniagaan terkaya di dunia.- AFP