WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. "Penggantungan visa antara Turki dan Washington yang hangat diperkatakan kebelakangan ini, dijangka akan diselesaikan dalam waktu terdekat," kata Timbalan Perdana Menteri Mehmet Simsek, lapor agensi berita Turki Anadolu.

"Ia adalah pertikaian sementara dan tidak mempunyai campur tangan politik," kata Simsek.

Beliau berada di Washington Amerika Syarikat (AS) untuk menghadiri mesyuarat tahunan Bank Dunia dan Kumpulan Wang Antarabangsa.

"Kami berharap isu itu dapat diselesaikan segera," katanya.

Mengulas mengenai penahanan seorang kakitangan kedutaan AS oleh Turki, beliau berkata, ia adalah proses biasa dalam sesuatu siasatan dan keselamatan kakitangan itu tetap menjadi keutamaan.

Turki pada Ahad mengumumkan menggantung semua perkhidmatan visa bukan imigran di kedutaan negara itu di Washington.

Sebelum ini, Xinhua melaporkan AS turut mengambil langkah sama menggantung semua perkhidmatan visa bukan imigran di Kedutaan AS di Ankara.

Ia berikutan pekerja tempatan Konsulat AS di Istanbul, Metin Topuz ditahan pihak berkuasa Turki pada 4 Oktober lepas kerana dituduh menjadi pengintip dan didakwa mempunyai kaitan dengan Pertubuhan Pengganas Fetullah (FETO).

Pemimpin FETO, Fetullah Gulen dituduh Turki menjadi dalang cubaan rampasan kuasa di Turki pada Julai tahun lepas.

"Terus-terang saya katakan. Turki tidak mahu pertikaian itu berlanjutan," kata Simsek .

Tambahan pula katanya, kedua-dua negara telah menjadi sekutu selama lebih setengah abad dan perkongsian itu cukup kuat untuk mendepani krisis tersebut. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.