ISLAMABAD - PAKISTAN. Isteri bekas Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif dilaporkan meninggal dunia di London hari ini, akibat kanser.

Kulsoom Nawaz Sharif, 68, dipercayai berada dalam keadaan koma sejak beberapa bulan lalu, selepas disahkan mengidap kanser limfoma tahun lalu, sebulan selepas suaminya, dipecat oleh Mahkamah Agung Pakistan.

“Isteri Nawaz Sharif sudah meninggalkan kita,” kata adik Nawaz, Shehbaz Sharif dalam mesej di Twitter.

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dalam satu kenyataan, melahirkan ucapan takziah dan menawarkan bantuan sekiranya diperlukan oleh keluarga Nawaz Sharif, mengikut peruntukan undang-undang.

“Beliau (Kulsoom) adalah seorang wanita berani dan berjuang melawan penyakitnya dengan penuh ketabahan,” kata Imran di Twitter.

Tiada maklumat diperoleh sama ada Nawaz atau anak perempuannya, Maryam akan diberi ‘pelepasan’ dari penjara untuk menghadiri majlis pengebumian Kulsoom.

Nawaz ketika ini sedang menjalani hukuman penjara selama 10 tahun, manakala anaknya, Maryam dikenakan hukuman penjara tujuh tahun, selepas didapati bersalah membeli pangsapuri mewah di London pada 1990-an. - Reuters