TEL AVIV - ISRAEL. Pihak berkuasa Israel telah meluluskan pembinaan 20,000 unit penempatan haram baharu di Baitulmaqdis, sekali lagi tidak menghiraukan gesaan antarabangsa untuk menghentikan projek seumpama itu di tanah penduduk Palestin.

Semalam, Majlis Perbandaran Kota Lama itu  mengumumkan ia bersetuju dengan projek itu termasuk kawasan perindustrian dan hotel di Baitulmaqdis.

Di bawah rancangan itu, kira-kira 12,600 unit perumahan baharu dan 8,000 unit tambahan akan dibina sebagai sebahagian daripada 'inisiatif pembaharuan bandar' di struktur sedia ada.

Projek itu dijangka menelan kos kira-kira AS$379 juta (RM1.5 bilion) dan rejim Tel Aviv semakin meningkatkan aktiviti pembinaan di wilayah itu, sekali gus melanggar Resolusi 2334 Majlis Keselamatan PBB selepas mendapat sokongan penuh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Resolusi itu menetapkan ia tidak mengiktiraf sebarang perubahan terhadap garisan 4 Jun 1967 termasuk berkaitan Baitulmaqdis selain dipersetujui oleh beberapa pihak menerusi rundingan. - Press TV