PELANCONG di Taman Safari di Ukraine terkejut apabila seekor singa secara tiba-tiba melompat ke dalam bas yang dinaiki mereka.

Memetik laporan Mail Online, aksi itu berjaya dirakam salah seorang pelancong dan tular di media sosial.

Menerusi portal itu, singa bernama Filya itu dilihat seperti menyerang pengunjung namun berlaku sebaliknya apabila singa berkenaan beraksi manja.

Filya masuk ke dalam kenderaan terbuka itu, mula menjilat beberapa pelancong, sambil menggosok wajahnya pada orang lain sebagai tanda kasih sayang.

Aksi yang jarang berlaku membuatkan pelancong terus bermain dengan Filya, dengan mengambil video dan swafoto.

Singa itu kemudiannya melompat ke belakang, di antara dua pelancong dan menjilat salah seorang pengunjung wanita.

Bagaimanapun selepas dua bulan, aksi manja singa di kawasan itu bertukar tragedi apabila seorang wanita diserang oleh singa yang lain di taman yang sama.