$entry.content.caption.value
JAKARTA - Indonesia telah meminta Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) supaya meningkatkan peranannya dalam penyelesaian pelbagai masalah dunia, termasuk masalah di Syria.
Menteri Luar Marty Natalegawa berkata, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono melahirkan harapan itu pada pertemuan dengan Setiausaha Agung OIC Ekmeleddin Ihsanoglu dan para anggota Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia OIC (IPHRC) di sini, Isnin.
Marty bercakap kepada pemberita selepas majlis pertemuan itu yang berlangsung di Istana Presiden di sini.
Sebelum ini, Marty mengutus surat kepada Menteri Luar Kazakhstan Yerzhan Kazykhanov selaku Pengerusi OIC peringkat Menteri Luar agar pertubuhan itu mengadakan persidangan khas mengenai masalah Syria.
Indonesia melihat keadaan di Syria tidak menunjukkan tanda-tanda pemulihan malah sebaliknya.
"Tentu OIC mempunyai potensi sebenarnya untuk lebih menyuarakan pandangannya dan menjadi sebahagian daripada penyelesaian. Bagaimana OIC boleh lebih memainkan peranannya dalam menghadapi masalah-masalah di kawasan pada masa ini,"
kata Marty.
IPHRC mengadakan mesyuarat rasmi pertama di Jakarta di sini mulai hari ini hingga 24 Februari. - Bernama





