JAKARTA - INDONESIA. Tiga daripada empat lelaki yang dipercayai militan bersenjatakan pedang samurai berjaya ditembak mati pihak berkuasa Indonesia ketika melakukan serangan ke atas ibu pejabat polis di Pekanbaru, Riau semalam.

Kumpulan terbabit juga dipercayai pernah cuba mahu membantu tahanan yang merusuh di ibu pejabat Briged Mobile (Mako Brimob) minggu lalu.

"Enam orang tiba dari Sumatra untuk membantu perusuh di Mako Brimob, namun berpatah balik kerana rusuhan telah berakhir," kata jurucakap Polis Negara Inspektor Jeneral Setyo Wasisto.

Dua daripadanya berjaya ditangkap di Sumatera Selatan, manakala empat yang lain pergi ke Pekanbaru untuk melakukan serangan.

Mereka dikatakan menaiki sebuah kereta dan memasuki pekarangan ibu pejabat polis terbabit sebelum menyerang sejurus keluar daripada kenderaan.

Dua anggota polis cedera manakala seorang lagi terbunuh selepas dirempuh penyerang yang cuba melarikan diri menaiki kenderaan.

"Penyerang yang cuba melarikan diri berjaya ditangkap dan ditahan di balai polis Pekanbaru," kata Setyo.

Seorang wartawan yang berada di tempat kejadian turut cedera selepas dilanggar kenderaan terbabit.

Setyo mengesahkan identiti tiga penyerang sebagai Mursalim, 42, Suwardi, 28, dan Adi Sufiyan, 26, yang semuanya merupakan penduduk Dumai, Riau.

"Mereka adalah ahli kumpulan Negara Islam Indonesia (NII) di Riau, yang merupakan sebahagian daripada rangkaian Daesh di Indonesia," katanya.

Walaupun NII berasingan dari kumpulan Jamaah Ansharut Daulah (JAD) yang menjadi dalang pengeboman di Surabaya dan Sidoarjo, kesemua mereka adalah sebahagian daripada rangkaian Daesh yang lebih luas di Indonesia.

"Mereka semua mengaku setia kepada pemimpin Daesh, Abu Bakr al-Baghdadi," katanya. - Jakarta Post/Agensi